Apr 27, 2009

Tokoh SK Manong: Datuk Hassan Nawawi


Dato’ Hassan Nawawi Bin Abd. Rahman merupakan wira daratan yang telah menyahut cabaran mengelilingi dunia dengan berbasikal. Beliau dilahirkan pada 9 Disember 1954 di Kampung Suak Petai, Manong, Kuala Kangsar, Perak. Beliau merupakan anak keenam daripada sepuluh adik-beradik. Pendidikan awal beliau adalah di Sekolah Kebangsaan Manong pada tahun 1961 – 1966. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di SMK Sultan Tajul Ariffin Manong pada tahun 1967 – 1969. Kemudian ke SM Aminuddin Baki, Kuala Lumpur bermula daripada tingkatan empat hingga tingkatan enam atas pada tahun 1970 – 1973.

Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah Hubungan Antarabangsa pada tahun 1977. Seterusnya mendapat Ijazah Sarjana Pentadbiran Pembangunan (MDA) dari University of Western Michigan pada tahun 1986. Beliau mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru sementara di SMK Sultan Tajul Ariffin Manongpada 1974 dan di SMK Dato’ Idris Pantai Remis pada 1977. Perkhidmatan pertama beliau dalam Perkhidmatan Awam adalah Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 19 September 1977 dan pernah bertugas di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian pada 1977 – 1980, di Kementerian Luar Negeri pada 1980 – 1981, Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1981 – 1984 dan 1990 – 1993, Pejabat Daerah Manjung (1993 – 1998 ), Pejabat Daerah Port Dickson pada 1998 – 2000 dan mulai bertugas sebagai Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Perak pada 1 April 2002.

Sukan yang paling diminati beliau adalah permainan bola sepak dan larian maraton, di samping mendaki gunung dan mengembara dengan basikal. Idea untuk berbasikal megelilingi dunia bukanlah datang secara mendadak tapi disebabkan beliau berminat membaca kisah pengembaraan Ibn Batutta, Khalid al - Walid, Magellan, Colombus dan nama-nama agung seperti Alexander The Great, Genghiz Khan, Shih Huang Ti dan I Cheng. Beliau mencatat pengembaraan berbasikal selama 389 hari dan berkayuh sejauh 26 565 kilometer merupakan catatan terbaru dalam sejarah tanah air. Beliau juga membuktikan bahawa tiada yang mustahil bagi sesiapa yang mengatakan diri mereka boleh untuk mencapai kejayaan. Catatan pengembaraan ini merupakan rekod manusia yang berjiwa besar dan kental yang boleh memberi inspirasi kepada generasi muda untuk membuat sesuatu yang hebat.

Sumber: Sejarah Malaysia

No comments:

Pengikut