Setiap  orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab  yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting  adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
3.  Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau  yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha  sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama  silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa  yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?”  Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak  dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;
4. Berusaha menjaga  kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau  melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah  puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri  dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada  perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan  keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah  s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya  melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan  maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka  sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih  dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai',  sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia  bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang  lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan  kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);
5.  Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya,  bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar  dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya  kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu  dicapai;
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika  berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya  adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain.  Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan  perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani  yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
Mereka yang  menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka  yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya  dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat)  ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t.,  kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.
Kenyang
Sepatutnya  orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah  kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian,  kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya:  Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya,  memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang  belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian  perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga  terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat  ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang  anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi  sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”
As-Salaf  as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan  dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan  secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;
7. Tidak  menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan  mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya  sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan  sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah  tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan  yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan  bagi amalan akhirat;
8. Mempraktikkan amalan sunah seperti  segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma)  dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan  sahur.
Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan  solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik  (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk  waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
9.  Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan  beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa  yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya  ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun  pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu  Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.
Adalah  dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat  terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.
Perbuatan  tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan  ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan  sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran  ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di  belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih  seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Oleh  itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan  ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan  al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat  dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama  imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20  rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang  menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan)  beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat  an-Nasaei)
- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu.
No comments:
Post a Comment